Tuesday, October 13, 2009

MAWAR EMAS

Bunga Rampai Sastera Rusia

Setelah lebih tiga tahun menanti dan beberapa penerbit yang berjanji tetapi tinggal janji, akhirnya buku terjemahan Victor Pogadaev daripada bahasa Rusia ke dalam bahasa MELAYU ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Memandangkan buku bunga rampai sebegini buat pertama kalinya diterbitkan dengan terhormat, maka buku ini wajar dibaca. Bukanlah disebabkan saya yang menjadi penyuntingnya. Bukan sama sekali. Saya sertakan kata alu-aluan MAWAR EMAS yang dituliskan oleh SN Dato’ A. Samad Said:

Ketika saya mula dalam menyertai ASAS 50 dalam dekad 50-an abad lalu, saya cepat diperkenalkan kepada Maxim Gorky dan Turgenev. “Tales of Italy” dan “The First Love” masing-masing oleh mereka ini mudah menetaskan keghairahan, malah kerinduan, saya terhadap sastera Rusia. Saya terpikat oleh kehidupan yang dirakamkan, khususnya kerana ia menghantar ragam dunia yang baru kali pertama saya alami. Memang terasa juga saya cepat meningkat bijaksana olehnya.

Antologi “Mawar Emas” mudah mengembalikan saya kepada keghairahan dan kekaguman lalu itu. Bedanya, barangkali, kali ini saya sempat mengenangi semula rangkaian peristiwa dan masalah masyarakat Rusia yang ditulis dengan penuh seni.

ASAS 50 adalah sebuah badan sastera pertama yang secara sedar memanfaatkan seni sebagai alat penyedar untuk mencapai darjat kehidupan yang bermaruah dan bermakna.

Ketika berkenalan dengan Pushkin, Dostovesky, Chekhov dan Blok, Malaya sedang bergolak oleh riak mogok dan demonstrasi. Karya-karya pujangga Russia yang rata-ratanya sangat berjejak di bumi itu bantu memahamkan saya akan kehidupan semasa yang saya lalui di saat itu. Kami dalam ASAS 50 mula sedar akan kewujudan sebuah dunia harian yang sangat beragam, bermatlamat dan bermartabat—cita-cita yang sering terpancar dalam karya pujanggan Rusia itu.

Sastera kurang bererti tanpa unsur-unsur membina dan menyedarkan itu.

Sangatlah menyenangkan apabila sesekali kita—khususnya sebagai penulis—dihadiahkan sejumlah hasil sastera tulisan penulis Rusia yang mewakili (juga yang terpenting) sebagai cermin bandingan dan percikan ilham bagi kita. Antologi ambisius ini menjadi lebih penting lagi pada ketika dunia sastera Melayu moden kini sedang dibanjiri buku-buku yang mengelamun dan mengkhayalkan.

Walaupun beberapa cerpen, puisi dan fragmen novel yang saya kagumi itu tidak sepenuhnya terwakil dalam antologi ini, tapi ternyata sesetengah karya yang—antaranya bagi pertama kali saya ketahui—dihadirkan sangat menyumbang dan segar bagi pembaca ghairah seperti saya.

Di celah-celah dongeng rakyat, teta-teki dan peribahasa, antologi “Mawar Emas” ini sempat mengemukakan “Pentingkah Namaku” (Alexander Pushkin), “Kujejaki Jalan Seorang Diri” (Lermontov), “Orang Tua Ariff” (Tolstoy), “Matinya Seorang Kakitangan” (Chekhov), “Kepada Alexander Blok” (Tsvetaeva), “Nyanyian Tentang Burung helang” (Gorky), “Hukuman” (Akhmatova), “Hamlet” (Pasternak), “Hendakkah Rusia Berperang?” (Yevtushenko), “Patung Pushkin” (Brodsky), “Tirai Gelap” (Solzhenitsyn) dan tidak ketinggalan “Mawar Emas” (Paustovsky) yang menjuduli antologi menarik ini.

Upaya Victor Pogadaev (sebagai penganjur, pemilih, pengumpul karya dan penterjemah) dan Rahimidin Zahari (sebagai penyelia) dengan demikian, sangatlah besar ertinya—malah manfaatnya—bagi kaum penulis kontemporer kita khususnya.

Rasanya, inilah pertama kali kita dapat membaca dan menikmati sejumlah besar karya terpenting dan terpilih Rusia dihidangkan secara sangat terbimbing dan berurutan.

Kerjasama seni seorang seniman dan seorang ilmuwan ini sangat besar ertinya kepada pengembangan dan kematangan dunia sastera kita yang kebetulan—juga sewajarnya—saling berhubungan sejak dekad 50-an abad lalu. Saya percaya kelahiran “Mawar Emas” akan berhasil meninggalkan kesan dan pengaruh seni yang positif bagi seniman (dan pembaca) kita dalam masa yang terdekat.

Sasterawan Negara, A. SAMAD SAID

2 comments:

Sham al-Johori said...

Salam tuan seyikh,
Lama rasanya tak berkunjung ziarah.
Merajuk itu penawarnya ialah menulis puisi. Bukankah darah dan daging kita ini sebahagian daripada puisi utusan Tuhan.
Biarkanlah mereka dengan cara mereka yang memilihi duniawi.
Kita ini terlalu jauh dan kerdil dalam kembara yang tidak pasti di mana nokhtahnya.
Amin.
Terus menulis puisi ok... abg imm kan baik.

Rahimidin Z said...

Tuan Haji,
saya tak lagi mengenali puisi!!!!