Friday, October 16, 2009

Siri Koleksi Saya:
ABD RANI ABD MAJID Pelukis Self Taught

Abd. Rani Abd. Majid seorang pelukis self trained artist. Dia tidak pernah menerima pendidikan seni lukis secara formal dari mana-mana institusi seni lukis dunia, mahu pun tanah air. Hanya selepas bergelar pelukis dan menjelajah dunia dengan membuat pameran, dia mengikut kursus stensil print dan wood print selama dua bulan di Mauritius.

Abd. Rani dilahirkan di Raub, Pahang pada tahun 1959. Namun sering berpindah kerana mengikut orang tuanya yang bertugas sebagai anggota polis. Beliau mengikut ayahnya ke Kelantan dan memulakan pendidikan rendahnya di sana. Ketika masih di sekolah rendah, berpindah pula ke Kuala Lumpur dan menetap sehingga hari ini.

Beliau mulai melukis secara serius sejak tahun 1981. Dia mulai melukis dan terus melukis selama empat tahun. Dengan lebih 50 buah karya telah terhasil, dia kembali perlahan. Sehinggalah pameran pertamanya pada tahun 1992 bersama 17 orang pelukis lain di Kuala Lumpur. Bermula detik itu, beliau tidak lagi berpaling ke belakang.

Abd. Rani pelukis yang amat mencintai tradisi bangsanya. Pengalaman masa kecilnya di Kelantan amat kuat melekat di dalam ingatan dan fikirannya. Sebab itulah wayang kulit, wau bulan, anyaman tradisi dan pelbagai bentuk kesenian itu mudah dikesan di dalam sejumlah karya seni lukis beliau.

Dalam sejarah seni lukis Malaysia, objek wayang kulit sering ditemui di dalam sejumlah karya pelukis Nik Zainal Abidin, dan Yusoff Haji Abdullah. Abd. Rani adalah salah seorang penerus kepada tradisi tersebut. Bahkan beliau amat menyanjungi dan menghormati hasil karya kedua-dua pelukis ternama tanah air tersebut.

Beliau telah melukis puluhan karya yang bertemakan warisan budaya yang mengambil imej dan motif dalam tradisi Wayang Kulit. Bahkan siri inilah yang paling laku apabila beliau membuat pameran di luar negara. Kolekter di Mauritius mahupun di Reunion Island amat meminati dan menyanjung karya yang menggambarkan motif budaya tradisi ini.

Dalam Warisan Budaya I (2003), Abd. Rani menyusun imej-imej Seri Rama dalam wajah hijaunya. Manakala hamparan anyaman tikar pula disusun menarik. Begitulah dengan Rebab dan penggeseknya, kukuran kelapa serta motif ukiran diterapnya dalam karya ini.

Dalam Warisan Budaya II (2003), Abd. Rahi mempertentang dua nilai tradisi. Catan yang seolah-olah dibahagikan dua. Di sebelah kanannya disusun watak-watak dalam tradisi Wayang Kulit dengan imej Siti Dewi, Wak Long, Dewa dan Pak Dogol. Manakala di sebelah kirinya objek pucuk rebung dengan tali air dan tiga ekor burung batik berterbangan.

Dalam Warisan Budaya III (2003), pelukis masih mempertentangkan Seri Rama dan Bota. Manakala rebab, gendang, kesi, serunai dan tetawak (gong) diatur di atas hamparan tikar pandan yang terjalin indah. Abd. Rani dengan rajin dan tekun merakam motif tradisi yang amat disayanginya itu.

Di dalam sejumlah karyanya yang dihasilkan, amat jelas mesej Abd. Rani. Jelas pada kita, bagi pelukis ini, nilai tradisi dan kehidupan masa kini harus seiring. Kesenian tradisi tidak harus pupus dan hilang di mata dan hati generasi muda hari.

Kecintaan dan kelestarian kepada kesenian tradisi harus diteruskan. Dan dia nampaknya menunaikan tanggungjawab sosial sebagai seniman pelukis. Puluhan karya yang mengangkat persoalan dan tema sedemikian adalah bukti kesungguhan beliau untuk mempertahankan nilai tradisi.

Tradisi tidak harus dijatuhkan hukuman bunuh dengan mengharamkannya. Baginya tanpa tradisi, tidak akan wujud kemodenan pada hari ini. Sebagai seniman pelukis, beliau bersuara dengan cara dan gayanya.

Pengalaman masa kecilnya di Padang Garong, Kota Bharu, Kelantan banyak mempengaruhi karya seni lukisnya. Walaupun masa lalu itu telah melangkaui 40 tahun lebih, tetapi keindahan itu tidak terhapus. Ia kembali segar setiap kali beliau mencapai berus, dan mencalitkan warna di muka kanvas.

Pameran solo pertamanya bukan berlangsung di Kuala Lumpur. Sebaliknya berlangsung di Municipal Art Gallery – Malcolm de Ghazal, Gurepipe Mauritius dari 26 Oktober hingga 2 November 2007. Dalam pameran tersebut, beliau tetap dengan tradisi Wayang Kulit yang amat dicintainya.

Pameran siri karya Wayang Kulitnya mendapat liputan meluas di dalam akhbar dan majalah di Mauritius. Bahkan sejak beberapa tahun sebelum itu beliau beberapa kali diundang untuk membuat pameran secara berkumpulan. Setiap kali pameran, karyanya dibeli oleh kolekter. Dan ini merupakan suntikan semangat yang mengobarkan jiwanya untuk terus melukis.

Pameran terbarunya bersama 16 orang pelukis lain di Reunian Island, Perancis dari 26 Julai hingga 10 Ogos 2008. Pelukis yang anugerah medal khas oleh Datuk Bandar Reunion Island ini amat berbangga dengan tradisi wayang kulit yang dilukisnya. Medal itu pertama kalinya dianugerahkan kepada rakyat dari negara luar.

Bayangkan sewaktu pamerannya yang berlangsung, belum selesai karya dibungkus, kolektor yang lain bertanyakan harga lukisannya. Datuk Bandar berdiri di belakang melihat kolektor yang tertegun dengan hasil karya Abd. Rani.

Tak pernah beliau alami peristiwa seperti itu di mana-mana pameran pun sebelum ini. Kejayaan itu bukanlah kejayaan dirinya secara peribadi, tetapi adalah kebanggaan untuk seluruh pelukis lain dan bagi negara Malaysia. Bagi Abd. Rani, dia adalah penerus kepada tradisi yang dimulakan oleh pelukis Nik Zainal Abidin dan Yusoff Haji Abdullah. Kejayaannya di Reunian Island, adalah kejayaan juga untuk pelukis-pelukis tersebut.

Bagi Abd. Rani para pelukis generasi muda Malaysia harus berkembang terus dan mencapai tahap yang setaraf dengan para pelukis dunia yang lain. Baginya, untuk menjadi pelukis yang berjaya, ketahanan diri perlu ada di dalam diri setiap pelukis. Tak ada kejayaan tanpa usaha yang keras dan berterusan.

Dalam koleksi saya terdapat 3 buah karya pelukis Abd. Rani Majid, ”Warisan Budaya”, ”Wayang Kulit ½” dan ”Kuala Rompin”.

Warisan Budaya,
arkrilik
65x75cm (2
003)








Wayang Kulit ½,
Stencil & Mix Media
58x78cm (2008)



















Kuala Rompin,
Cat Air
49x64cm (2008)

No comments: