Wednesday, May 5, 2010

Kecelakaan Pemalas.

Ini judul cerpen pertama yang ditulis di Tanah Melayu oleh Nor Ibrahim atau Madrasi. Tersiar dalam majalah Pengasuh, 4 Februari 1920/15 Jamadilawal 1338. Siapakah Madrasi itu sehingga kini tidak ditemukan sosoknya (ejaan ini memang disengajakan). Ada anggapan beliau itu bekas Mufti Kelantan, Allahyarham Sahibus Samahah Datuk Haji Mohd Nor Ibrahim. Itu hanya anggapan, dan kita tidak ditemukan dengan karya cerpennya yang lain. Majalah Pengasuh masih diterbitkan sehingga kini, tetapi saya telah berhenti melanggannya setelah saya dapati editornya tidak tahu apa-apa tentang dunia penerbitan buku dan majalah.
Seorang kawan saya bercerita tentang si pemalas di jabatannya yang tidak membuat kerja hakikinya. Separuh daripada kerja hakikinya dibuat oleh orang lain. Dia tidak faham kerjanya sendiri, tetapi dia selalu mengaku dia yang buat itu dan ini. Kalau mengarah dan menyalahkan orang lain, dialah yang terhebat. Pelajar Universiti yang melakukan latihan praktikum di bawah pengawasannya akan keluar dengan mata merah setiap kali dipanggil masuk ke biliknya. "Si bebal yang nampak cantik dan pandai, tetapi berhati busuk ini perlu diajar, " kata kawan saya. "Kau nak ajar apa dengan dia tu?" tanya saya. "Aku santau ke, aku langgar ke?". "Tak baik buat begitu," pujuk saya.
"Aku kena lepaskan juga kemarahan dan kejijikan aku kepada si pemalas ini. Aku melihatnya seperti aku melihat babi." "Dia kan, kawan kau juga. Kau doalah ayng baik-baik untuknya," nasihat saya.

Dan kawan saya itu tidak puas hati juga. Dia berhasrat untuk menulis sebuah cerpen tentang kisahnya itu. Saya katakan padanya, pergilah jumpa dengan SM Zakir atau Zaen Kasturi antara dua orang kawan saya yang menulis cerpen di KL ini, nanti bolehlah mereka ajarkan. Dia bertanya lagi, apakah agaknya judul yang sesuai untuk cerpennya itu. Kata saya tulislah dulu, dan kemudian letaklah judul apa pun. Mungkin saja judulnya "Pemalas Cantik Yang Celaka". Dia macam tak puas hati dan bertanya lagi, "Boleh disiarkan kat majalah Pentas?". Saya teringatkan lawak anak-anak saya, "Boleh..boleh belah!"

No comments: