Wednesday, September 29, 2010

NGO

Saya mula terlibat dengan persatuan dalam jarak masa yang agak lama. Selepas SPM, saya bersama beberapa teman menubuhkan Teater Saadong. Awal 20-an saya mula dilantik menjadi JK Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan menjadi Setiausaha Pertubuhan Angkatan Penyair Kelantan. Jadi saya tahu sangat dengan kerja-kerja sukarela ini. Ada yang masuk kerana ingin menjadikan persatuan sebagai batu loncatan ke dunia politik pilihan mereka. Ada yang masuk kerana dah pencen dan tak ada apa kerja lain yang ingin dibuat.

Saya sejak dahulu selalu jelas dengan pilihan saya. Saya masuk persatuan kerana ingin berkawan, dan jarang terfikir ingin makan kawan. Kalau saya rasa saya perlu meminta pandangan kawan-kawan, saya minta dan ada yang saya terima pakai dan ada yang saya tak terima. Dan kalau tidak ingin menerima sejak awal saya tidak akan meminta pendapat atau pandangan.

Sama juga dengan pemimpin persatuan yang ingin memimpin, menjadi dinasour dan tirax pada zamannya. Biarkanlah kerana hayat manusia secara relatifnya 63 tahun, kalau Allah swt memberikan usia bonus lebih daripada itu, bersyukurlah kepada-Nya dan perbanyaklah amal ibadat. Dan tempat yang paling aman tentunya rumah-Nya yang berada di segenap ceruk taman perumahan. Atau kalau masih ingin mengeram telur, eramlah meskipun telur-telur tembelang itu tidak akan menetas sehingga ke hujung nyawa.

Kita boleh melepaskan tanggungjawab di hadapan manusia, tetapi tanggungjawab di hadapan Allah swt, sebagai taklif akan terpikul selamanya. Kita boleh sahaja menjadi idealis untuk zamannya, tetapi idealis yang bercakap tanpa henti, dan tiada tindakan apa-apa, itu idealis tong sampah namanya. Kita boleh berdolah-dalih dengan menuding tangan ke sana dan ke sini dengan menyalahkan orang lain, tetapi kita tidak berbuat apa-apa – itu juga kelompok yang yang setaraf dengan idealis tong sampah.

Saya tidak menghormati secuil hujung kuku pun, jenis pemimpin NGO yang penakut (khususnya untuk pemimpin persatuan penulis) yang berdolah-dalih – sekali ingin bertanding dan sekali ingin terus memimpin. Iya kita negara demokrasi katakan! Demokrasi terpimpin. Ini jenis pemimpin yang tiada telur namanya. Nak bertanding, bertandinglah, tak nak bertanding dan nak duduk di masjid, duduklah. Atau kalau ingin memimpin sehingga 40 tahun atau 50 tahun, pimpinlah persatuan tersebut hingga ke hujung nyawa, berkat doa para malaikat! Tetapi, kalau tak pernah menulis apa-apa, setakat sarjana copy page dan menulis kertas kerja sehelai dua; berhentilah daripada membuat kerja yang sia-sia. Nescaya tuan-tuan akan diludahi oleh sejarah!

Rasulullah SAW melantik Usamah bin Zaid RA sewaktu berusia 17 tahun untuk memimpin armada tentera Islam berdepan dengan musuh dan membuka kota baru.

No comments: