Friday, April 8, 2011

TEATER MELAYU - Mencari Masa Depan?

Teater Melayu sebenarnya berkembang di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika badan itu ditadbir dan diurus oleh orang-orang yang berakal. Kementerian Kebudayaan ketika itu pun tidak terlawan dengan kesungguhan DBP menghidupkan teater. Manakala teater kecil pula dimulakan oleh Anak Alam. DBP sekarang yang tinggal hanya Setor Teater dan A. Wahab Hamzah.

Tidak pasti sama sekali tentang masa depan teater Melayu. Tambahan pula saya bukanlah ahli nujum. Bukan juga sarjana yang mengajar dan mengkaji teater, tetapi sehingga pencen gagal melahirkan tunas baru untuk memeriahkan teater. Teater Melayu pada saya amat pesimis. Hampir tak ada penggiat yang serius, penulis skrip, kumpulan teater yang ingin buat teater kerana teater menjadi darah dagingnya, dan tiada kumpulan yang mantap. Zaman 70-an teater Melayu berkembang dengan kumpulan dan tokohnya. Teater sekarang, apa yang ada?

Ketika hampir semua universiti awam ada kursus teater, tetapi tak lahir juga skrip yang baik dan karyawan yang bagus, itu tandanya apa? Guru kencing berdiri, murid mengencingi guru. Itu kata Taufiq Ismail, bukan kata saya.

Optimislah sikit, jangan dok pesimis 24 jam, kata kawan-kawan saya. Tanpa karya yang ditinggalkan oleh generasi Noordin Hassan, Syed Alwi, Dinsman, Hatta Azad Khan, Johan Jaaffar, Zakaria Arifin, Khalid Saleh, Hashim Yasin, Anuar Nor Arai, Abdulaziz HM, Wan Ahmad Ismail, Marzuki Ali dan beberapa kerat itu - teater Melayu sebenarnya dah mati!

No comments: