Tuesday, May 10, 2011

MEMBACA SEMULA BUKU YANG PERNAH KITA BACA

Ada buku yang saya baca, tetapi tak pernah selesai. Saya simpan. Ada buku yang saya baca, dan beberapa tahun kemudian saya mengulanginya semula. Apabila kita membaca semula tentunya ada sesuatu atau kita seronok dengan buku tersebut. SN A. Samad Said menyatakan dia mengulang baca novel Dr. Zhivago karya Boris Pasternak setiap tahun. Saya cuba membacanya, amat perlahan. Saya menonton filemnya, kemudian membacanya semula.

Balik dari Korea saya ingin membaca semula cerpen-cerpen dalam antologi Perjalanan ke Sampo yang diselenggarakan oleh Prof. Chung Young-Rhim, tetapi buku milik saya itu gagal saya kesani di mana saya menyusunnya. Beberapa hari lepas, anai-anai menemukan saya dengan buku tersebut, dan saya mula membacanya semula. Saya seronok dengan gaya penceritaan.

Dan saya juga bertemu semula dengan novel Di Bawah Alunan Ombak karya A. Rashid Ngah, edisi berjaket cetakan pertama tahun 1961. Ini sudah menjadi rare dan langka - amat sesuai untuk kolektor. Novel ini kalau tidak silap saya, antara salah sebuah novel yang menang hadiah saguhati Peraduan Menulis Novel DBP bersama-sama dengan Salina karya A. Samad Said dan Musafir karya Hassan Ali.

No comments: