Tuesday, August 9, 2011

JELAJAH MUSI

Mula membaca "JELAJAH MUSI - Eksotika Sungai di Ujung Senja"(KOMPAS: 2010) dengan editornya Kenedi Nurhan. Membeli buku ini selepas menghilir Sungai Musi dari jeti di bawah Jambatan Ampera menuju ke Upang, sebuah kampung Melayu yang dianggap paling tua. Sepanjang perjalanan tanpa jaket keselamatan, perjalanannya hampir 2 jam. Percik air membasah kami setiap kali bot itu menujah dan tertampan dengan olakan air dari bot lain yang melaju, atau sesekali berselisih dengan kapal besar bertingkat-tingkat. Beberapa kapal Bugis berlabuh di tepi sungai.

Mulanya hanya saya dan Shamsudin Othman yang diajak oleh Prof. Muhammad Haji Salleh untuk menemaninya ke Upang. Sebelum ke Palembang, Prof. Muhammad beberapa kali menelefon saya yang beliau berhasrat untuk mencari orang-orang lama yang mahir berpantun, atau boleh memberikan pelbagai cerita lisan. Hal itu telahpun dimaklumkan kepada Anwar Putra Bayu, dan beliau cuba merealisasikan hasrat kami. Tetapi sehingga ke pagi kami akan berangkat ke Upang, semua orang yang dihubungi begitu sibuk dengan acara.

Kami beruntung dengan kesanggupan penyair J.J. Bolong yang juga seorang Panitia Pertemuan Penyair Nusantara V yang akan membawa kami ke sana. Dari hotel Swarna Dwipa tempat menginap, kami menaiki bas yang terakhir menuju ke Muzium Palembang yang terletak tidak jauh dari tebing Sungai Musi. Selepas diberikan penjelasan yang panjang lebar oleh Pak Abi Sofyan, seorang pembantu muzium yang begitu mendalam pengetahuannya mengenai sejarah Srivijaya dan Palembang, kami bermohon untuk berangkat.

Melihat kami bertiga meninggalkan Dewan Kesenian Sumatra Selatan yang diketuai oleh Dr. Zukhair Ali (seorang doktor perubatan)itu - Ada di Malaysia, doktor perubatan memimpin seniman?), Khalid Salleh, Fuad Bebet dan Dr. Ahmad Razali memandang saya bergerak menuju ke jeti.
"Nak ke mana?" tanya Wak.
"Naik bot ke Upang. Teman Prof. Muhammad."
"Boleh ikut?"
"Jomlah, kita tuntung."
"Boleh ke tak boleh?" soal Wak.
"Pasal tak boleh? Naik bot."

JJ Bolong berunding mengenai harga bot ke Upang. Biasanya RP25,000 untuk satu kepala sehala. Setelah berbincang, kami bersetuju. Sewanya sebanyak RP700,000 pergi dan balik.

Perjalanan ke Upang dengan bot melewati rumah-rumah panggung Melayu yang berbumbung perabung lima menguja saya. Selang lima enam rumah, akan terpacaklah masjid sepanjang sungai. Masjid itu melambangkan kekentalan Islam yang luar biasa, paling tidak pada diri saya. Bentuk rumah panggungnya tidak banyak berbeza dengan di Riau atau seperti di Kuala Pahang, Kuala Terengganu atau di Kampung Laut di Kelantan. Bumbung masjid yang bertingkat itu juga tidak banyak berbeza. Saya segera teringatkan Masjid Tua Kampung Laut, Masjid Sultan Syarif Abdul Rahman di Pontinak dan Masjid Demak di Jawab. Iya, kan Palembang dan Srivijaya itu Melayu.

Hampir 2 jam di air, melintasi Pulau Kemaro yang mempunyai mitos dan lagenda yang tersendiri. J.J. Bolong cuba memberikan penjelasan, tetapi bunyi engin bot dan percik air yang bertembung dengan angin, membawa hilang segala penjelasan tersebut. Yang jelas, kedalaman sungai Musi sedalam 18 meter dan lebarnya 300 meter. Dalam dan lebar, dan dalam hati kami masing-masing pastinya berdebar kerana tanpa pelampung dan jaket keselamatan!

Sampai di Jeti Upang dengan perut yang lapar. Tetapi di jeti milik Kepes (Kepala Desa) tersaji hidangan seperti nasi lemak, sate kerang dan pelbagai kuih. Kami makan, sehingga kenyang dan Wak Khalid yang bayar. Dari jeti, meniti papan sekeping 5x2 yang melendung, sampai ke tangga dan menapak naik ke pelantar. Dan rumah-rumah tersusun menghala ke darat. Saya cepat teringatkan Pulau Omadal, di Semporna, Sabah. Warganya ramah tamah sekali, menjawab setiap pertanyaan. Tak ada jalan darat, cuma beberepa meter sahaja untuk ke sekolah dan ke masjid. Ada kenduri kesyukuran di sebuah rumah penghuni Upang, dan kami dijemput sama.

Kampung ini tiada masalah, tiada pencuri dan tiada penagih. "Kami hidup aman sentosa," kata Kedes. Dan hampir semua ketua keluarga dan anak muda-anak muda di sini menjadi nelayan. Dan mereka tidak sahaja menangkap ikan di muara Musi, tetapi keluar jauh berminggu-minggu sampai ke Batam dan Belitung. Ikan di sana banyak, ucap mereka.

Setelah 2 jam, kami harus berangkat balik ke bandar Palembang. Malam nanti masih ada acara rasmi. Perjalanan pulang agak lebih cepat kerana bot kami mudik ke hulu. Sampai di sebelah kiri jambatan Ampera, teman-teman yang lain sedang makan durian. Hampir semuanya tertanya-tanya "ke manakah kami?".

"Kami ke Upang,jelajah Musi "jawab saya.

1 comment:

NASSURY IBRAHIM said...

Selamat Hari Raya. alamat bloh kawe dlm talian demo kena tambah "ibrahim"

nassuryibrahim.blogspot.com