Thursday, May 17, 2012

PINDAH

Berpindah ke pejabat baru memberikan suasana yang 100% baharu. Bayangkan dari kamar yang dikepung dinding empat segi, tiada jendela untuk saya melihat alam dan matahari. Kadang-kadang panggilan telefon dari luar tidak dapat ditangkap gelombangnya. Lalu terputus. Bilik pun sehari demi sehari semakin sendat dengan buku dan catan - bergulung mahupun berfrem. Apabila wajib pindah, semua orang sibuk memasukkan barangan masing-masing  ke dalam kotak yang dibekalkan. Saya tidak tahu, apa yang ingin saya pindahkan. Capai di depan, serasa tak kena. Di kanan dan kiri juga sama. Buku-buku di mana-mana, hanya jalan kecil yang membolehkan saya melangkah ke kerusi di sebalik timbunan buku.

Dua hari lepas, saya diberikan bilik baharu. Cermin lutsinar tanpa pemidang atau langsir. Apabila matahari naik pagi, maka terpercik masuk cahaya matahari ke bilik saya. Dan begitulah apabila petangnya, matahari petang juga merembes manja ke bilik saya. Dari tingkat 1, meja saya mengadap ke tasik Titiwangsa. Kuda-kuda melintas. Pasangan berkayak. Orang-orang berjogging. Termasuk tengah hari ceng, 1 tengah hari pun nampak orang berjogging. Gelombang angin di air tersilau ke mata. Dan saya memandang mangga sepohon yang sedang berputik di luar cermin yang mengepung saya. Ru yang kaku, dan lapan batang kelapa kurus memandang saya.

Apabila berpindah, maka buku, lukisan dan puluhan tesis yang menjadi simpanan saya ikut sama berpindah.

No comments: