Thursday, June 28, 2012

TAKRIFAN MELAYU

Pagi tadi saya menghadiri "Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan" di Dewan Seminar, Menara DBP Kuala Lumpur. Sepulang dari sana, saya mencari artikel lama saya. Dan ketemuilah sebuah artikel yang telah lama saya tulis:
Takrifan Melayu dalam puisi SN Usman Awang, gurindam Tenas Effendy dan Perlembagaan Persekutuan Perkara 160

Pengenalan

“Malay” means a person who professes the religion of Islam, habitually speaks the Malay language, conforms to Malay custom”. Melayu adalah sebuah diaspora tertua yang menghuni Semenanjung Tanah Melayu. Pelbagai teori diberikan oleh sarjana tempatan dan luar negara tentang teori migrasi dan bagaimana proses asimilasi menjadikan Melayu itu sebagai etnik dan kaum terbesar di kepulauan Nusantara (Malay Archepalago). Sarjana tempatan, khususnya melalui galian arkeologi telah menemukan tapak-tapak tua di Malaysia seperti di Lembah Bujang, Sungai Mas, Sungai Petani, Kedah, di Lenggong, Perak, atau di Gua Cha, Kelantan telah menemukan dengan bentuk kerangka yang ribuan tahun lampau. Penemuan ‘Perak Man’ di Lenggong, Perak memperjelaskan betapa bumi Semenanjung Tanah Melayu ini telah dihuni oleh manusia sejak ribuan tahun lampau.

Takrifan Melayu

Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 160: Melayu ditakrifkan sebagai rakyat atau kelompok masyarakat yang beragama Islam, berbangsa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Kaum atau etnik lain yang tidak berada di dalam pendefinisian ketiga-tiga kategori tersebut secara mudahnya adalah bukan kaum atau etnik Melayu. Secara jelasnya kalau mengikut takrifan Perlembaan Persekutuan Melayu itu mestilah merangkumi tiga entiti utama – beragama Islam, berbangsa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.

Sasterawan Negara Usman Awang memperluaskan lagi definisi dan konsep Melayu mengikut sudut pandangnya sebagai seorang sasterawan. Usman Awang melalui puisi “Melayu” menulis:

Melayu itu, kaya falsafahnya
Melayu itu, orang yang bijaksana
Akal budi bersulamkan daya

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muallaf bertaktif Melayu

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,
Kita bersama dalam serumpun

Usman memperlihatkan “world view” seorang sasterawan tang berfikiran jauh, luas dan terbuka. Puisi ini membuka ruang yang seluas-luasnya untuk melihat dan meninjau tentang orang Melayu yang memiliki kekayaan falsafah yang kehidupan harian mereka. Orang Melayu juga dihubungkaitkan dengan kebijaksanaan dengan sulaman tamsilan dan akal budi. Sebab itu dalam tradisi kehidupan orang Melayu itu penuh dengan nilai sopan santun dan budi bahasa. Penggunaan pantun, syair, gurindam, seloka, pepatah dan petitih merupakan gambaran kekayaan khazanah orang Melayu. Dan apabila menegur sesuatu yang melibatkan perangai dan etika, umpamanya - bentuk teguran itu tidak dilempiaskan secara langsung, tetapi penuh dengan tamsilan dan ibarat.

Banyak ungkapan yang menggambarkan kebijaksanaan Melayu tersebut seperti “bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh ditumpang”, “seekor kerbau membawa lumpur, habis terpalik semuanya”, “pisau cukur”, “tangkai jering” dan banyak lagi. Pepatah “bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh ditumpang” ini ditujukan kepada orang yang berlagak pantai dalam semua hal, tetapi tiada suatu perkara hasil daripada perbuatannya yang boleh dijadikan iktibar dan tauladan. Dia sebenarnya bodoh tetapi berasakan dirinya itu amat bijaksana. Ini bentuk sindiran yang menggambarkan bijaksananya orang Melayu. Begitu juga apabila merujuk kepada perempuan jahat dan orang yang kedekut, datuk nenek kita tidak menyebutnya langsung. Tetapi menggunakan ungkapan “pisau cukur” untuk perempuan yang jahat dan menggunakan ungkapan “tangkai jering” untuk orang yang kedekut. Jadi, semuanya disindir dalam kata-kata yang lunak, supaya orang yang ditegur tersebut tidak terasa dengan bentuk teguran atau pun sindiran tersebut.

Dan Usman Awang amat terbuka gaya berfikirnya, dengan memberikan tafsiran Melayu bukan semata-mata kepada takrifan Melayu yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan sahaja merujuk kepada penduduk Melayu di Tanah Melayu tetapi diluaskan kepada penduduk di Sabah, Sarawak , dan para “pendatang”, atau pun yang telah memeluk agama Islam juga telah diterima sebagai Melayu. Bahkan, apabila ada kaum lain yang memeluk agama Islam, ungkapan yang sinonim dengan kelompok ini sebagai “masuk Melayu”. Rata-ratanya berfikir, apabila masuk Islam itu sebagai masuk Melayu. Begitulah penerima masyarakat Melayu secara umumnya terhadap mualaf yang telag memeluk agama Islam.

Sebagaimana Usman Awang, Pak Tenas Effendy seorang budayawan Melayu dari Riau, Indonesia yang juga hidup dalam rumpun Melayu juga telah memberikan takrifan dan definisi yang tepat mengenai Melayu. Sifat atau watak Melayu itu sangat positif dengan menolak permusuhan dengan sesiapa pun. Melayu itu sangat setia dan sabar yang tiada sempadannya. Ambil sahaja contoh pahlawan Melayu Melaka yang menjadi legenda, Laksamana Hang Tuah di zaman keagungan Melaka yang dijatuhkan hukuman bunuh kerana dituduh bermukah dengan dayang istana. Tuah tidak dibunuh, sebaliknya disembunyikan oleh Bendahara di Hulu Melaka, kerana Bendahara percaya bahawa Tuah tidak melakukan pekerjaan yang terkutuk tersebut. Tindakan Sultan Melaka ketika itu tidak disenangi Hang Jebat, sahabat baik Hang Tuah.

Jebat diberikan tanggungjawab sebagai Laksamana menggantikan Hang Tuah yang telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh Sultan Melaka. Kesempatan terbaik itu digunakan oleh Hang Jebat untuk membalas dendam kepada Sultan Melaka, Sultan yang zalim harus menerima balasan daripada kezaliman tersebut. Jebat memasuki Istana, merampas takhta dan merampas gundik-gundik Sultan juga. Apabila dikhabarkan bahawa Hang Jebat menderhaka kepada Sultan dengan beraja di mata dan tidak bersultan di hati, ketika itulah Sultan tersedar dengan kesilapannya, “Alangkah baiknya kalau Hang Tuah tidak dibunuh. Bolehlah dia menewaskan Jebat si pendergaka itu.” Tuah dipanggil balik untuk menghapuskan Jebat. Dan Tuah adalah watak Melayu yang sangat setia kepada pemerintahnya. Dia sanggup membunuh sahabatnya, Jebat yang pernah membela dirinya demi setianya kepada pemerintah.

‘Hebat amuknya tak kenal lawan’ ungkapan yang paling tepat untuk Hang Jebat. Kerana marahnya kepada tindakan Sultan dan para pembesar yang berada di sekelilingnya . Kesabaran pada Jebat ada haknya, tetapi kesetiaan bagi Hang Tuah tiada batas sempadannya. Jebat-Tuah merupakan dua susuk yang jelas mengenai setia dan derhaka Melayu kepada tuannya.

Watak Melayu menolok permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung

Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat
Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.
Gurindam Tenas Effendy ini juga jelas memberikan gambaran mengenai pemimpin yang lahir dengan sifat agung ‘maruah dan agama dihina jangan’. Sekiranya ada pemimpin Melayu yang membiarkan maruah dan agamanya dihina, maka pemimpin jenis tersebut dalam waktu yang terdekat akan tersungkur di kaki kuasanya sendiri. Citra yang jelas dapat dirujuk ke zaman Melaka, apabila Sultan Mahmud mendengar hasutan rakyat, judi berleluasa, rasuah dan perempuan menjadi buruan, maka runtuhlah Melaka sebuah empayar yang besar dan gah ketika itu. “Syarak dipakai adat dijunjung’ sekiranya hal itu kekal di jiwa dan sanubari pemimpin, nescaya negara tersebut akan terpandang mulia dan menjadi sebutan setiap rakyat jelata. Ini penting kerana ‘syarak’ akan menjadi garis panduan untuk mengatur kehidupan seharian rakyat dan kehidupan bernegara. Syarak itu sendiri merupakan undang-undang kehidupan Islam yang harus diikuti dan dipatuhi.
Paling penting pemimpin yang ‘hidupnya mengabdi diri kepada rakyat’ lantas ‘taat setia pula membela umat’. Pempimpin yang sebegini akan disanjung sepanjang masa dan usianya.

Berdasarkan takrif perlembagaan Perseketuan dan hububungkaitnya dengan puisi ‘Melayu’ Usman Awang dan Gurindam Tenas Effendy terdapat dua kesan timbal balik yang boleh ditelusuri, sama ada implikasi positif dan juga implikasi negatif.

Implikasi Positif

Impilkasi positif yang dapat dipelajari daripada beberapa aspek yang melibatkan politik, sosio budaya, enokoni dan juga agama.

Politik merupakan tonggak orang Melayu yang paling utama sekiranya orang Melayu ingin kekal berkuasa di bumi kelahiran dan tumpah darah mereka. Tanpa kuasa politik Melayu, orang Melayu yang menjadi rakyat bawahan akan terus terbiar melarat. Paling utama harus difikirkan bagaimanakah cara dan kaedah terbaik untuk membina potensi supaya pengundi bertambah dan Melayu boleh terus kekal berkuasa memerintah dan mentadbir negara. Harus ada satu strategi dan plan jangka panjang untuk menambahkan jumlah pengundi Melayu. Pertambahan jumlah pengundi itu pula harus seiring dengan polarisasi kaum terbesar yang terdapat di Malaysia. Keyakinan rakyat atau pengundi kepada parti Melayu terbesar harus dikembalikan supaya mereka yakin dan percaya bahawa pemimpin mereka adalah yang membela nasib dan masa depan mereka. Dan bukannya jenis pemimpin yang suka berdolak dalih demi untuk kepentingan politik dan masa depan sendiri.

Sosio budaya yang sentiasa bergerak akan akan melibatkan perubahan kitaran kehidupan masyarakat. Taraf hidup rakyat juga akan berubah mengikut tahap pendidikan yang mereka terima. Jurang sosio budaya masyarakat amat jelas berbeza antara penghuni di bandar-bandar besar berbanding dengan kehidupan di kampung-kampung terpencil. ‘World view’ pemikiran masyarakat di bandar tidak mungkin sama dengan ‘world view’ masyarakat desa. Orang di desa biasanya menutup kehidupan mereka dan berasa cukup dengan apa yang telah sedia ada dan mereka biasanya tidak ingin berubah. Orang kota, harus membina dan menjana kehidupan mereka selaras dengan kepesatan dan serabutnya simpang-siur kehidupan kota itu sendiri. Maka dia harus tangkas dan licik dalam menguruskan kehidupannya selaras dengan perkembangan dan taraf kehidupan tersebut. Kepelbagaian fikiran, dan sikap ini akan melahirkan sudut pandang yang berbeza.

Pertumbuhan ekonomi akan bertambah atau meningkat berdasarkan kestabilan politik pemerintah. Pertumbuhan ekonomi akan melibatkan dasar politik pemerintah, sejauh manakah dasar luarnya Berjaya membawa pelabur masuk untuk menanam modal di dalam negaranya. Keberanian pelabur luar untuk menanam modal juga berkait rapat dengan kestabilan parti politik yang memerintah sesebuah negara tersebut. Permintaan rakyat atau pengguna juga faktor penting untuk menjadikan pertumbuhan ekonomi negara bertambah. Tanpa pemintaan penggunaan, sama ada ketiadaan tenaga sumber manusia juga akan mengjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi. Sumber manusia yang mencukupi dengan permintaan kepenggunaan yang tinggi akan berjaya membangunkan sumber ekonomi negara. Politik yang kukuh dan stabil akan terus membagun dan menanjak perkembangan ekonomi negara dengan lebih efektif lagi.

Anutan atau kepercayaan agama akan melibatkan akidah. Akidah yang jelas akan memberikan kefahaman tentang kehidupan bermasyarakat dalam sebuah negara yang penghuninya terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama. Proses meningkat kan tolenrasi kehidupan masyarakat pelbagai kaum ini agenda yang penting dan perlu diberikan perhatian. Menghormati anutan masing-masing dan tidak menimbulkan pergeseran yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Apabila masing-masing memahami dan mengenali hati budi masing-masing, maka soal pergeseran itu sama sekali tidak akan timbul.

Sifat positif yang paling ketara iaitu mengamal Islam dalam kehidupan bekerluarga akan melahirkan keluarga yang harmoni, amalan kehidupan dalam bermasyarakat akan melahirkan masyarakat bersatu padu, boleh bertolak ansur dan menyelesaikan pelbagai perkara dari yang kecil sehingga masalah besar sekalipun. Sebuah kehidupan yang rukun dan penuh perdamaian, dengan komuniti masyarakatnya boleh menyesuaikan diri menurut edaran masa dan zaman. Sifat yang positif ini adalah selaras dengan ungkapan keramat yang sering kita dengar dan kita war-warkan “Tidak Melayu hilang di dunia!”


Implikasi Negatif

Politik berebut kuasa dengan pelbagai tuntutan yang memberikan implikasi negatif yang tidak sedikit sebenarnya. Masing-masing parti politik ingin mengekalkan status quo mereka dengan membina pelbagai manifesto (yang kadang-kadangnya tidak masuk akal sama sekali) untuk memikat dan memancing undi rakyat. Undi orang Melayu berpecah kepada tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, PAS dan PKR. Fakta kritikal menunjukkan jumpa pengundi Melayu berdaftar yang asalnya 51.6% itu telah berpecah kepada tiga parti utama orang Melayu. Dan ini tidak seimbang dengan pengundi jemputan Melayu sebanyak 10.1 % berbanding dengan jumlah pengundi kaum Cina dan Inda sebanyak 38%. Sekiranya peratusan ini tidak cuba diatas dengan menyatukan pengundi-pengundi Melayu untuk menjuruskan kepada parti utama, dikhuatiri dalam waktu yang terdekat perpecahan kepada tiga parti tersebut akan menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa politik di tanah airnya sendiri. Walaupun ini sebagai sebuah andaian, tetapi andaian tersebut tidak harus dilihat dengan sebelah mata, sebaliknya harus direnungi dengan mata hati dan difikirkan dengan kewarasan akal yang penuh dengan pertimbangan.


Sosio masyarakat yang sedang menghadapi proses kecelaruan budaya antara semua kaum yang ada di Malaysia. Syak wasangka akan bercambah kerana masing-masing ingin kekal dan menonjol identiti kaum dan bangsa sendiri. Walhal Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah digagaskan pada tahun 1971 itu telah dengan jelas memberikan rumusan yang penting yang menjadi asas kebudayaan kebangsaan:

(i) Kebudayaan Kebangsaan Malaysia haruslah berasaskan kebudayaan asli rakyat rantau ini.

(ii) Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan.

(iii) Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan tersebut.

Membelakangi ketiga- tiga unsur utama yang telah digagaskan sejak trahun 1971 itu akan menyebabkan terjejasnya hak asasi “Melayu Asal”.

Perkembangan ekonomi negara yang dikuasai oleh saudagar-saudagar kaum Cina akan terus kekal menguasai ekonomi negara dan kaum lain akan terpinggir ke tepi. Ini akan menyebabkan agihan bertambah luas dan jurangnya menjadi semakin nipis. Penguasaan sistem ekonomi oleh satu kaum tertentu akan membiakkan lagi kapitalis baru dalam sistem ekonomi negara.

Agama menjadi senda gurau politik. Masyarakat bandaran mulai diperkenalkan dengan pelbagai istilah baru seperti plurisme agama dan liberasasi agama– ayng kedua-duanya jelas bertentangan dan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi anutan akidah penganut Islam di rantau Asia Tenggara. Plurisme agama dan liberalisasi agama merupakan virus yang sedang menyerang dan merebak. Kalau tidak segera disekat dan dibentung, fahaman kronik ini akan menular dalam masyarakat bandaran yang sedia membuka sudut pandang mereka kepada yang hal-hal yang mudah dan menyenangkan mereka. Konflik penggunaan nama Allah itu sendiri telah membawa ke mahkamah dan mengundang pelbagai pandangan banyak pihak, dari pemimpin polittik, ahli agama dan rakyat bawahan. Hal ini pun tidak berjaya dijernih dan ramai yang masih jahil beragama tetapi berasa alim kerana kalimah Allah itu sendiri adalah milik ekslusif penganut agama Islam.

Sifat negatif ini akan mendedahkan pekung kelemahan dalaman negara dan akan dijadikan batu loncatan dan explotasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Bahkan mereka menunggu ruang dan peluang terbaik untuk menyusup masuk dan membina lingkaran syaitan yang akan memerangkap kita dalam kelalaian dan kealpaan menangangi segala isu dan permasalahan tersebut. Sifat negative ini samalah dengan perumpamaan yang biasa kita dengar dalam kalangan orang Melayu: “Gajah di depan mata, kita tidak nampak, tetapi kuman di seberang lautan kita nampak.” Inilah antara kelemahan yang harus segera diatasi dan rungkaikan.
Strategi Melayu

Demi menilai implikasi positif dan implikasi negetif tersebut, sudah sampai masanya orang Melayu memikirkan bagaimanakah strategi terbaik untuk menyelamatkan masa depan Melayu selaras dengan perkembangan teknologi maklumat. Apakah orang Melayu perlu “menjemput” etnik lain bagi mengekalkan kuasa? Ini pun sebenarnya tidak mustahil dilaksanakan. Sabah dan Sarawak umpamanya telah mempraktikkan perkara tersebut untuk menjadi parti Melayu berjaya mengekalkan kuasa mereka di kedua-dua negeri tersebut.

“Melayu Asal” harus kembalikan “status quo” sebagai Melayu yang kembali bersatu padu. Barangkali kaedah terbaiknya dengan menemukan semua pemimpin Melayu daripada tiga parti Melayu untuk duduk dalam keadaan yang waras dan bijaksana. Tetapi sekiranya masing-masing membawa idealisme dan pemikiran untuk kepentingan pribadi masing-masing, bukannya atas dasar musyawarah, selagi itulah proses penyatuan itu tidak akan terjadi.

Pemimpin mengamal sifat positif – “walk your talk”. Hal ini bukan lagi sebagai sesuatu yang harus, tetapi menjadi kewajiban pemimpin Melayu sekiranya mereka ingin melihat masa depan dan tonggak kuasa Melayu terus kekal memerintah negara. Sekiranya tanpa sifat positif strategi Melayu tidak akan Berjaya dibina dan dilaksanakan.

Strategi pecah perintah bukan Melayu. Boleh atau tidak strategi ini dilaksanakan? Berdasarkan pilihan pengundi di beberapa bandar besar, mereka biasanya tidak memilih parti pemerintah. Pengundi Cina dan India tidak mengundi parti pemerintah, sebaliknya mengundi parti perbangkang. Manakala pengundi Melayu yang tinggal atau bekerja di Bandar-bandar utama kebiasaannya tidak mendaftar sebagai pengunci di tempat mereka tinggal dan bekerja. Sebaliknya mereka menjadi pemilih di kampung atau asal asal mereka. Hal ini sebenarnya merugikan parti UMNO. Dan harus ada satu kempen supaya penghuni Melayu di ibu kota atau Bandar-bandar utama mendaftar sebagai pengundi di Bandar untuk menjayakan strategi pecah perintah bukan Melayu.

Menjalankan strategi untuk menguasai dua kaum terbesar di Malaysia iaitu menjadikan Melayu “towkay” Cina dan Melayu “god father” kepada India. Sekali gus memperkenalkan Model baru ekonomi “tersirat” untuk mengangkat dan memartabatkan ekonomi orang Melayu.


Penutup
Orang Melayu harus sedia untuk berubah. Walaupun takrifan Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 160: Melayu ditakrifkan sebagai rakyat atau kelompok masyarakat yang beragama Islam, berbangsa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu itu memberikan takrifan yang jelas, tetapi Melayu harus berhati-hati dan berwaspada dengan segala bentuk cabaran dan ancaman yang boleh melumpuh dan memupuskan etnik Melayu dari wilayahnya yang asal. Puisi “Melayu” Usman Awang dan “gurindam” Tenas Effendy merupakan dua bentuk puisi oleh dua pemikiran Melayu yang amat menyayangi dan mencintai leluhurnya. Dua puisi ini memberikan amaran dan peringatan supaya kita sentiasa berhati-hati dan mawas diri dengan segala bentuk cikcok yang boleh menghapuskan Melayu.


BIBLIOGRAFI

Mohd. Affandi Hassan. ASAS KEBUDAYAAN KEBANGSAAN, 1973. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia.

Tenas Effendy. TUNJUK AJAR MELAYU, 1991. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Usman Awang. INI SAYA PUNYA KERJA. 1996. Kuala Lumpur: Utusan Publication Sdn. Bhd.

Wednesday, June 27, 2012

MISTIK

Semalam, saya menulis 4 halaman dan telah mencecah 1500 perkataan tentang perjalanan saya di Jogja, Bantul, dan Parangtritis. Setelah selesai ditulis, entah kesilapan apa yang saya buat, semua tulisan tersebut hilang ghaib. Maka begitulah juga, kerana ghairah ingin bercerita tentang hal keanehan yang saya alami, kehilangan tulisan saya itu juga sebagai satu 'mistik'lah kiranya tu. Tak mengapalah, insyaAllah saya akan menulisnya semula. Mungkin akan ada yang bertambah dan akan banyak pula  yang berkurang nanti.

Tuesday, June 26, 2012

Menulis Puisi Adalah Menulis Hati


Puisi atau sajak? Terpulanglah pada anda, suka untuk menyebutnya sebagai apa. Puisi boleh. Sajak pun boleh. Ada orang tak suka istilah puisi digunakan kerana puisi itu lebih bersifat umum – termasuk semua puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka, kita’ah atau apa-apa bentuk seumpamanya yang sudah pun menemui gaya dan bentuknya yang tergolong tradisi. Manakala sajak pula sudah pastinya merujuk kepada sajak moden.

“Puisi-puisi Tosca” merupakan kumpulan puisi kedua karya Rasyidah Othman selepas “Perempuan Yang Patah Hati”. Dia menulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, juga melukis. Saya mula membaca puisi-puisinya sejak akhir tahun 2008. Ketika itu beliau mengikuti Minggu Penulis Remaja yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan saya salah seorang pembimbing bengkel tersebut.

Selepas bengkel itu, ada yang terus hilang dan tak muncul-muncul lagi. Cuma sesekali ada yang menulis. Dan saya terus mengikuti perkembangan setiap peserta yang mengikuti bengkel saya. Selepas bengkel MPR 2008 itu, hanya Rasyidah dan Wardah Puteh yang “berani” sms kepada saya. Yang lain nampaknya terus hilang.

Apabila Rasyidah kembali dengan “Puisi-puisi Tosca”, saya sangat teruja. Saya mengikuti MPR sejak lama, bermula sebagai peserta pada tahun 1987 dan berakhir sebagai pembimbing. Puisi-puisi Rasyidah dan Wardah antara yang memberi kesan berbeza kepada saya berbanding dengan peserta yang lain. Apabila kembali dengan “Tosca”, dia masih setia dengan puisi-puisinya liriknya dengan menuliskan tentang hati nuraninya.

Dan kerana menulis puisi adalah menulis hati, maka Rasyidah menuliskan puisi-puisinya dari hati nurani dengan pelbagai perasaan:

Rahsia Tuhan II

Sesosok tubuh malaikat
dan separuh bulan terbelah di sisinya;

Dia tidak bisa terbang lagi



Dosa V

Di antara ranum susu dan pahit kopi yang kuminum ini,
kulihat ada bulan yang mati dan matahari yang tenggelam di permukaannya

Dan selang di atas meja tulisku
tergelintang serak kertas-kertas kumal
yang di tiap helaian mukanya dinukil;

Doa



Walaupun dalam puisi-puisinya, kita akan menemui pelbagai perasaan – marah, sedih, kecewa yang tiada sudahnya seakan-akan putus asa, tetapi puisi-puisinya itulah sebenarnya rumah keyakinan yang menjadi tempat untuk dia mengembalikan kepercayaan dirinya.

Dan, Rasyidah Othman teruslah menulis kerana menulis puisi adalah menulis hati! Tak perlu lagi berpaling ke belakang, sebaliknya teruslah merenung bintang di langit kartika.