Monday, October 22, 2012

Frankfurt Book Fair (2)



Tahun 2010 yang lalu, saya tak sempat untuk menyusur ke semua 8 hall di Frankfurt Book Fair. Tetapi bagi tahun 2012, saya berhasrat untuk mengunjungi kesemua hall yang satu hallnya sama dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Boleh tahan jugalah lenguh kakinya. Paling menarik saya temui buku-buku langka yang ratusan tahun. Harganya pun ribuan euro, dan tentunya tidak mampu untuk saya memilikinya walaupun pembeli boleh merunding harganya dengan tuan punya.

Saya terhenti pada satu ruang yang mempamerkan buku-buku, surat dan poskad yang mempunyai tandatangan penulis-penulis besar dunia. Poskad Samuel Becket yang ditulisnya pada tahun 1959 berharga 380 euro. Novel 'The Old Man and The Sea' dengan tandatangan Hemingway (1956) berharga 2,400 euro. Poskad William Golding (1983) dengan harga 90 euro. Buku sketsa dan puisi Herman Hesse (1939) dengan harga 1,400 euro. Ini sangat menarik pada saya, sebab saya selalu tengok orang Kuala Lumpur (umumnya orang Malaysia) akan menghulurkan buku kepada penulis/sasterawan yang dia suka (atau pun sebenarnya tak suka pun)  untuk menandatangi buku terbaru mereka. Maka, berakhirlah buku yang bertandatangan oleh penulis itu  dalam almari sebagai simpanan kekal, sebelum dilupuskan oleh anak-anak selepas pemiliknya menjadi arwah.

Saya pun membelek-belek folder di atas cermin mencari-cari kalau ada yang paling murah, dan mampu saya beli. Lalu saya ambil dua tandatangan, satunya Nadine Gordimer dan satu lagi Czeslaw Milosz  dua penerima Hadiah Nobel dengan nilai 30 euro dan 40 euro sebuah. Saya tidak mendarabnya untuk menjadikan dalam ringgit Malaysia, sebab belajar daripada kawan saya untuk berfikir bahawa nilai itu hanya sama dengan RM30 dan RM40 sahaja.

1 comment:

Norziati Mohd Rosman said...

Bila saya tengok kad bertandatangan dan keratan akhbarnya, rasa takjub pula dengan keupayaan omputeh menghasilkan pelbagai cenderamata dari 'tangan penulis'. Terima kasih kerana berkongsi 'perasaan' memegang cenderamataini :)