Friday, June 28, 2013

pertanyaan untuk diri sendiri

Saya selalu bertanya, kenapakah ada segelintir orang sangat suka menjadi kolektor? Kolektor mungkin untuk pelbagai bidang seni - seni lukis, arca,  barang antik atau paling tidak katakanlah - setem, sampul surat hari pertama atau  rantai kunci. Tentunya kerana suka. Kesukaan itu sudah tentu berkaitan rapat pula dengan kehalusan jiwa seninya. Ada orang melihat dari sudut estetika. Kesukaan itu berbeza mengikut taraf kehidupan atau kemampuan yang dimiliki oleh seseorang kolektor. 
Saya mula mengumpul barangan antik sejak sekolah menengah. Mengumpul buku-buku lama sejak sekolah rendah. Mula membeli lukisan daripada kawan-kawan sejak tahun 1988. Tetapi sebenarnya, saya tidak tahu untuk apa saya menyimpan itu semua. Barangkali untuk menyemak rumah, sebagaimana komen adik-adik saya?
Kata kawan saya, menjadi kolektor seni lukis harus kaya raya. Kalau papa kedana, kita tidak akan mampu memiliki karya terbaik yang kita suka dan ingin miliki. Saya tidak memiliki kekayaan. Jadi saya mengumpul apa yang saya suka dan yang saya mampu miliki sebagai tidak lebih sebagai penjawat awam. Ada orang beli di pameran, berebut di 'auction', dan saya tentunya tidak mampu. Yang saya mampu hanya berkawan dan bersahabat dengan beberapa pelukis yang boleh menerima saya sebagai sahabat. 
Walaupun menyukai seni lukis, tetapi saya tidak mengumpul semua genre. Saya hanya ada beberapa arca sahaja kerana rumah 'setinggan' yang saya miliki tidak mampu untuk memuatkan arca-arca Mad Anuar atau Raja Shahriman. Saya juga  tidak mengumpul lukisan anjing dan babi sebagaimana sesetengah kolektor.
Akhirnya saya mulai berfikir dan merenung untuk apakah saya simpan segala benda  yang tiada lebih akan menjadi debu dan puing-puing. Untuk apakah saya mencintai  daki-daki dunia yang akan saya tinggalkan melebihi cinta saya kepada Yang Maha Pencipta?

No comments: